FREE ADS

AMANAT GURU BESAR 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kepada warga pendidik yang dirahmati Allah, sesi persekolahan Tahun 2010 ini merupakan titik-tolak khidmat bakti anda di sekolah ini bagi merealisasikan Visi : SK. Semeling akan menjadi sekolah cemerlang dalam Daerah Kuala Muda Yan menjelang 2010.

Target 2010 adalah 80% lulus dalam semua matapelajaran.

Guru-guru perlu bertugas dengan cekap dan penuh iltizam , bersungguh-sungguh dan memberi keutamaan kepada ”core business” kita sebagai seorang guru yang bukan sahaja mengajar dan murid belajar tetapi dapat melonjakkan prestasi murid-muridnya ke arah kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah.

Kita perlu berinteraksi secara professional, berkongsi pengalaman secara permuafakatan strategik di samping menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas tak kira di kelas mana kita mengajar dan apa tugas jawatan yang diberi. Tonjolkan kecemerlangan setiap kelas yang kita ajar setiap jawatan yang kita sandang tanpa alasan kerana guru cemerlang, cemerlanglah muridnya, cemerlanglah hasil kerjanya, telah dibuktikan oleh rakan kita di sekolah ini juga di sekolah lain. Adalah amat malang dan rugi jika ada guru yang sengaja merosakkan masa depan murid-muridnya dengan bersambil lewa mengajar tanpa persediaan dan kesungguhan.

Renungilah pandangan ini ;

“ Kesilapan seorang doktor akan menyebabkan kematian seorang pesakitnya, tetapi kesilapan seorang guru akan merosakkan satu generasi yang dididiknya. ”

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Kepada gurulah segala sandaran dan harapan

Kepada gurulah impian dan cita-cita

Cemerlanglah guru, cemerlanglah muridnya, cemerlanglah tugasannya

Ayuh cikgu, laksanakan amanah di bahu dengan jujur dan ikhlas

Mendidik anak bangsa harapan nusa

Laksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan sehabis baik

Bukan sekadar melepas batuk ditangga

Atau bersambil lewa atau “ aku peduli apa..”

Cikgu, amanah yang diberi

Laksanakan dengan penuh kesungguhan

Bagai anak sendiri yang akan menduduki peperiksaan

Bimbangnya bukan kepalang

Usahanya bermacam-macam

Kerana segala usaha dan tumpuan

Untuk melihat anak yang dikasihi berjaya

Begitukah kita?


Justeru itu, marilah kita sama-sama menginsafi dan bermuhasabah adakah kita sudah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan sehabis baik setiap masa dan ketika ? Agar dapat menggilap mutiara kecemerlangan di kalangan anak-anak SK. Semeling. Mudah-mudahan usaha kita diberkati Allah S.W.T. InsyaAllah.

” BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
” PENDIDIKAN CEMERLANG KEDAH GEMILANG”

Dari meja Guru Besar SK. Semeling,

CHE ROSLI BIN IBRAHIM.

Sifat-sifat pelajar cemerlang

Setiap murid inginkan kejayaan. Lebih-lebih lagi kita sebagai pelajar memfokuskan kejayaan dalam pelajaran sebagai matlamat utama. Namun kejayaan tidak datang bergolek dan tidak pula datang dengan sekelip mata. Ianya memerlukan komitmen dan usaha gigih dalam mencapai sesuatu kejayaan. Bertitik tolak daripada inilah kita sememangnya memerlukan perancangan yang teliti dan modal yang kukuh dalam menentukan kejayaan kepada pelajar khususnya yang bakal menghadapi peperiksaan semester dan sebagainya. Oleh itu, kita seharusnya tahu sedikit sebanyak tentang tips-tips dan rahsia-rahsia untuk mencapai kejayaan.Sifat-sifat pelajar yang berjaya.

1. Bertaqwa

Berdoa dan memperuntukkan masa untuk mengigati Allah. Semua kewajiban terhadap agama hendaklah dipenihi bagi menjamin kita mendapat keredhaan Allah. Berdoalah memohon kesenangan dan kalancaran dalam mencapai kejayaan serta berdoa juga agar dikurniakan kecerdasan otak yang lebih. Otak yang dikurniakan Tuhan kepada makluk-makluknya adalah sama. Sebarang kelebihan adalah datangnya dari Allah.

2. Bersemangat

Setiap murid yang ingin berjaya, mempunyai keinginan dalam mencapai kecemerlangan. Dengan kata lain pelajar itu mempunyai semangat untuk nerjaya. Semangat boleh dipupuk dengan adanya cita-cita. Cita-cita boleh meransang diri murid itu untuk lebih berusaha dan berkeyakinan dalam menempuh rintangan untuk berjaya. Oleh itu tetapkanlah matlamat atau cita-ciata anda dengan jelas dan berusahalah untuk mencapainya dengan bersungguh-sungguh.

3. Berdisiplin

Disiplin adalah faktor yang sangat penting untuk berjaya. Setiap murid hendaklah mengikut peraturan serta menghormati ibu bapa,, guru, orang yang lebih tua dan rakan-rakan. Sedarkah anda bahawa individu-individu ini adalah orang yang mendorong anda untuk berjaya. Jangan sesekali menderhaka kepada mereka, kerana restu dan doa mereka, anda sebagai seorang murid akan mencapai kejayaan yang anda. Jadilah orang yang berdisiplin.

4. Cekal

Usaha dengan berterusan melalui pemikiran dan minda yang positif, kerana kelemahan dan kekurangan bukan batasan dan bukan untuk dijadikan alasan. Maksudnya sesuatu kejayaan itu hanya akan dapat dicapai sekiranya anda tidak berputus asa apabila dilanda kegagalan atau meneyedari kelemahan pada diri anda. Berfikirlah secara matang dan terbuka berdasarkan fikiran yang waras untuk mengatasi kekurangan atau kelemahan diri.

5. Maju kehadapan

Sentiasa berusaha untuk berada di hadapan orang lain atau menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik dengan cara yang sihat, tanpa menjatuhkan satndard orang lain. Dalam aspek ini sifat cemburu pada kejayaan orang lain boleh menjadi peransang kepada seorang murid untuk membaiki diri, seterusnya bersaing secara sihat dikalangan masing-masing demi untuk mengatasi yang lain. Awas! Kadang-kadang sifat cemburu boleh membawa kepada hasad dengki, lalu menimbulkan niat untuk menjatuhkan seseorang dengan cara yang salah. Elakkan berperasaan begini. Anda hendaklah sentiasa bersifat terbuka dalam mewujudkan suasana persaingan yang positif.

6. Tidak mudah berpuas hati

Sikap ini perlu diamalkan dalam diri setiap murid. Jangan memandang kepada apa yang telah kita capai tetapi sebaliknya fikirkanlah apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan pencapaian yang telah kita perolehi itu sebagai pendorong kepada kejayaan yang mendatang.