Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kepada warga pendidik yang dirahmati Allah, sesi persekolahan Tahun 2010 ini merupakan titik-tolak khidmat bakti anda di sekolah ini bagi merealisasikan Visi : SK. Semeling akan menjadi sekolah cemerlang dalam Daerah Kuala Muda Yan menjelang 2010.
Target 2010 adalah 80% lulus dalam semua matapelajaran.
Guru-guru perlu bertugas dengan cekap dan penuh iltizam , bersungguh-sungguh dan memberi keutamaan kepada ”core business” kita sebagai seorang guru yang bukan sahaja mengajar dan murid belajar tetapi dapat melonjakkan prestasi murid-muridnya ke arah kecemerlangan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah.
Kita perlu berinteraksi secara professional, berkongsi pengalaman secara permuafakatan strategik di samping menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jujur dan ikhlas tak kira di kelas mana kita mengajar dan apa tugas jawatan yang diberi. Tonjolkan kecemerlangan setiap kelas yang kita ajar setiap jawatan yang kita sandang tanpa alasan kerana guru cemerlang, cemerlanglah muridnya, cemerlanglah hasil kerjanya, telah dibuktikan oleh rakan kita di sekolah ini juga di sekolah lain. Adalah amat malang dan rugi jika ada guru yang sengaja merosakkan masa depan murid-muridnya dengan bersambil lewa mengajar tanpa persediaan dan kesungguhan.
Renungilah pandangan ini ;
“ Kesilapan seorang doktor akan menyebabkan kematian seorang pesakitnya, tetapi kesilapan seorang guru akan merosakkan satu generasi yang dididiknya. ”
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Kepada gurulah segala sandaran dan harapan
Kepada gurulah impian dan cita-cita
Cemerlanglah guru, cemerlanglah muridnya, cemerlanglah tugasannya
Ayuh cikgu, laksanakan amanah di bahu dengan jujur dan ikhlas
Mendidik anak bangsa harapan nusa
Laksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan sehabis baik
Bukan sekadar melepas batuk ditangga
Atau bersambil lewa atau “ aku peduli apa..”
Cikgu, amanah yang diberi
Laksanakan dengan penuh kesungguhan
Bagai anak sendiri yang akan menduduki peperiksaan
Bimbangnya bukan kepalang
Usahanya bermacam-macam
Kerana segala usaha dan tumpuan
Untuk melihat anak yang dikasihi berjaya
Begitukah kita?
Justeru itu, marilah kita sama-sama menginsafi dan bermuhasabah adakah kita sudah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan sehabis baik setiap masa dan ketika ? Agar dapat menggilap mutiara kecemerlangan di kalangan anak-anak SK. Semeling. Mudah-mudahan usaha kita diberkati Allah S.W.T. InsyaAllah.
” BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
” PENDIDIKAN CEMERLANG KEDAH GEMILANG”
Dari meja Guru Besar SK. Semeling,
CHE ROSLI BIN IBRAHIM.